Saturday, November 29, 2008

Tokoh-tokoh Baba



Jawatan Presiden Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA)
Tempoh perkhidmatan 27 Februari 1949 – Mac 1958
Menggantikan Tun Dr. Lim Chong Eu
Parti politik Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA)
Tarikh lahir 5 April 1883
Tempat lahir Melaka
Tarikh kematian 13 Disember 1960
Anak
1. Tun Tan Siew Sin (l)
2. Kim Tin (p)
3. Wee Geok Kim (p)
4. Alice Kim Yoke (p)
5. Agnes Kim Lwi (p)



Tun Dato Sir Tan Cheng Lock (Cina Ringkas: 陈祯禄; Cina Tradisional: 陳禎祿; pinyin: Chén Zhēnlù, 5 April 1883-13 Disember 1960) ialah seorang pemimpin politik Cina di Tanah Melayu yang merupakan presiden pertama Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) pada tahun 1949.

Dalam tempoh hampir 40 tahun, Tan memberikan pimpinan dan berjuang untuk politik, pendidikan, dan kebajikan masyarakat orang-orang Cina di Tanah Melayu. Dalam perjuangannya, beliau mempergunakan arena-arena politik dan ekonomi. Selain daripada menggunakan perdebatan, ucapan, kritikan dan ulasan, beliau juga mempergunakan memorandum dan petisyen dalam pengemukaan persoalan-persoalan. Seorang peranakan yang, berbeza dengan pendatang-pendatang Cina di Tanah Melayu, merupakan rakyat British, ini adalah asas untuk kebangkitan pengaruh beliau di bawah pemerintahan British.

Kehidupan awal
Dilahirkan di Jalan Heeren, Melaka, Tan ialah anak ketiga dalam sebuah keluarga yang terdiri daripada tujuh adik beradik. Pada tahun 1899, beliau memperoleh pendidikan Inggeris di Sekolah Tinggi Melaka, dan kemudiannya di Institusi Raffles di Singapura.

Selepas persekolahan, Tan bertugas sebagai seorang guru selama enam tahun sebelum meletakkan jawatannya untuk menjadi Penolong Penurus di Ladang Getah Bukit Kajang Berhad, sebuah ladang getah yang dimiliki oleh saudara sepupunya. Pada tahun 1909, beliau memulakan syarikat sendiri yang mula-mulanya digelarkan Ladang Getah Melaka Pindah Berhad dan kemudiannya, Ladang Getah Melaka Bersatu Berhad dan akhirnya Ladang Ayer Molek Berhad.

Pada tahun 1913, Tan berkahwin dengan Yeo Yeok Neo, anak kepada Yeo Tin Thye, Presiden Persatuan Hokkien Melaka. Mereka dikurniakan dengan seorang anak lelaki, Tun Tan Siew Sin (bakal Menteri Kewangan Malaysia) dan empat orang anak perempuan.

Kerjaya politik
Pada tahun 1912, Tan dilantik oleh kerajaan British sebagai Pesuruhjaya Majlis Melaka serta Jaksa Pendamai Melaka. Beberapa bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Majlis Bandar untuk bandar-bandar dan Pelabuhan Melaka.

Pada tahun 1914, Tan menghidupkan semula pertubuhan Sukarelawan Cina Melaka dan menjadi ahli biasanya sehingga 1919. Pada tahun berikutnya, iaitu 1915, beliau menghidupkan semula Persatuan Orang Cina Peranakan-British (SCBA), sebuah persatuan di Melaka yang bertujuan untuk melindungi kepentingan orang Cina Peranakan di Negeri-negeri Selat, dan dipilih sebagai Presidennya. Pada tahun 1923, Tan dipilih sebagai Ahli Tak Rasmi Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat, satu "jawatan" yang beliau menyandang sehingga 1934.

Ketika Jepun menduduki Tanah Melayu pada tahun 1942, Tan melarikan diri ke India [1] dan tinggal di sana sehingga 1946. Semasa di sana, Tan melahirkan gagasan untuk mencipta sebuah parti politik Cina di Tanah Melayu. Beliau kemudian memulakan Persatuan Cina Perantauan India (OCAI) yang mengirimkan memorandum kepada Pejabat Penjajah untuk memberikan kewarganegaraan kepada mereka yang bukan dilahirkan di Tanah Melayu. Persoalan ini kemudian dimasukkan oleh pihak British sebagai salah satu prinsip dalam penubuhan Malayan Union.

Malayan Union dibentuk secara rasmi pada 1 April 1946. Penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union menyebabkan Tan dan Parti Komunis Malaya (CPM) bekerjasama dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk menentang UMNO di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar. Bersama-sama dengan rakan-rakannya, Tan menubuhkan Majlis Tindakan Bersama Tanah Melayu (AMCJA) dan bekerjasama dengan Pusat Tindakan Rakyat (PUTERA) di bawah pimpinan PKMM.

Disebabkan penentangan oleh orang-orang Melayu, pihak British membubarkan Malayan Union dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Dasar ini dibantah oleh komuniti-komuniti perniagaan. Parti Komunis Malaya memulakan pemberontakan bersenjata dan memaksakan kerajaan Tanah Melayu mengisytiharkan Keadaan Darurat. Semua pemimpin parti politik sayap kiri ditangkap. Oleh sebab Tan bukan dianggap sebagai seorang sayap kiri, beliau terselamat.


Penubuhan Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA)
Pada 27 Februari 1949, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Cina yang lain seperti Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee, Tan mengasaskan Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) dan menjadi presidennya yang pertama. Matlamat utama untuk membentuk MCA adalah untuk:

menyatukan orang-orang Cina di Tanah Melayu;
melindungi hak-hak dan kepentingan orang-orang Cina;
bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang komunisme; dan
bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain untuk memperoleh kemerdekaan untuk Tanah Melayu.
Sebagai Presiden MCA, Tan mengetuai kempen-kempen di seluruh Tanah Melayu. Kempen-kempen itu menarik hampir 200,000 ahli dan cawangan-cawangan MCA ditubuhkan. Bilangan ahli dan cawangan MCA semakin bertambah. Tan, selaku ketua MCA, menyokong gagasan Dato' Onn Jaafar untuk membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). IMP dibentuk pada 26 September 1951 di Kuala Lumpur dengan kerjasama berbagai-bagai bangsa. Bagaimanapun dalam tempoh tiga tahun, hubungan antara MCA dan IMP menjadi tegang, disebabkan apa yang dikatakan ketakbekerjasamaan Dato' Onn terhadap persoalan kewarganegaraan.

Pada tahun 1952, Akta Kewarganegaraan diluluskan yang mengenakan sekatan terhadap orang-orang bukan Melayu. Dato' Onn mengemukakan Akta Imigeresen 1952, 1953 dan Akta Perniagaan 1953 yang menjejaskan ahli-ahli Cina dalam IMP. Pemusuhan antara Tan dan Dato' Onn bermula ketika Tan menyokong cadangan H.S. Lee untuk bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952. Dato' Onn terang-terang mengkritik tindakan-tindakan politik orang Cina dan ini menyebabkan Tan dan MCA menyokong UMNO yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman.

Tan membawa MCA ke Konvensyen Kebangsaan yang ditajai oleh UMNO pada 23 Ogos 1953, dan sebuah perjanjian kerjasama dimeterai antara UMNO dan MCA dengan persefahaman untuk mencapai kemerdekaan melalui cara yang aman. Pembentukan Parti Perikatan antara MCA, UMNO, dan MIC mencepatkan proses kemerdekaan ketika Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam pilihan raya persekutuan pada tahun 1955. Cita-cita Tan untuk memperoleh taraf kewarganegaraan untuk orang-orang Cina di Tanah Melayu dicapai ketika UMNO menerima cadangan itu dan memasukkannya dalam memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid yang ditugasi untuk menulis Perlembagaan Persekutuan.


Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada 13 Disember 1960 di Hospital Besar Melaka akibat sakit jantung ketika berumur 77 tahun.


Anugerah
1949: D.P.M.J. oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Johor.
1949: Komander Empayar British (Commander of the British Empire, CBE)
1952: Komander Kesatria Empayar British (The Knight Commander of the British Empire, KBE) oleh Raja George VI yang membawa gelaran "Sir"
1958: Tun oleh DYMM Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong



Tan Siew Sin

Tun Tan Siew Sin (21 Mei 1916 - 18 Mac 1988) ialah Presiden Ketiga MCA selepas Tun Tan Cheng Lock, ayahnya, dan Lim Chong Eu. Beliau juga merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia dari tahun 1959-1974.

Kehidupan Awal
Beliau merupakan anak tunggal lelaki kepada negarawan dan Presiden pertama MCA, Tun Tan Cheng Lock, dilahirkan di Melaka dan mendapat pendidikan awal di Kolej Raffles di Singapura. Sebelum itu, beliau belajar di sebuah sekolah perempuan iaitu Suydaim Girls School (sekarang dikenali sebagai Sekolah Tinggi Methodist). Tindakan bapanya menghantar ke sekolah ini bertujuan agar Tan Siew Sin tidak terpengaruh dengan budak lelaki yang nakal. Tan Siew Sin adalah seorang pelajar yang cerdik dan selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap ujian. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Raffles College, Singapura dan seorang pelajar yang aktif dalam sukan khususnya pasukan hoki.

Pada tahun 1935, beliau jatuh sakit dan menghidap penyakit batuk kering. Beliau kemudiannya sembuh sepenuhnya apabila menjalani satu pembedahan di Switzerland. Tiga tahun kemudian, beliau menyambung pengajian di London dalam bidang undang-undang dan memperoleh Kepujian Kelas Pertama di Middle Temple, salah satu dari empat institut perundangan terkenal di London.

Bagaimanapun Perang Dunia Kedua tercetus menyebabkan beliau terpaksa kembali ke Tanah Melayu. Beliau telah bekerja di ladang bapanya sebagai seorang penyelia. Bapanya mahu beliau mempelajari pengurusan ladang.

Apabila Perang Dunia belaku, tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu. Tentera Jepun telah memusnahkan dan menguasai kepentingan British di Tanah Melayu. Tan Siew Sin dan orang Cina yang pro British merasakan tidak selamat dan telah berpindah ke India. Semasa di India, beliau telah bertugas dengan Kementerian Peperangan Ekonomi (Ministry Of Economic Warfare). Tugas utamanya ialah mengembara ke seluruh India. Kesempatan ini, beliau telah menyaksikan penderitaan rakyat India semasa pemerintahan British. Di samping itu beliau telah menyaksikan perjuangan pemimpin-pemimpin kebangsaan seperti Gandhi dan Nehru.

Apabila perang tamat pada 1945, beliau sekeluarga kembali ke Tanah Melayu dan membantu keluarga menguruskan perniagaan. Rentetan itu, beliau telah mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam politik. Bagaimanapun, hasrat terhalang apabila bapanya beranggapan bahawa Tan Siew Sin masih muda untuk berpolitik. Bapanya juga mahu Tan Siew Sin mengurus dan menumpukan kepada perniagaan keluarganya.

Politik
Pada tahun 1948, beliau telah dilantik sebagai seorang Anggota Badan Perundangan Persekutuan. Pada masa ini, beliau juga aktif dalam Kelab Loteri Melaka dan memegang jawatan sebagai Presiden Kelab tersebut. Pada masa itu juga, aktiviti komunis amat membimbangkan ketenteraman Tanah Melayu. Mereka yang pro-British akan dibunuh oleh komunis.

Tan Siew Sin juga aktif dalam Independence Malaya Party (IMP) yang ditubuhkan oleh Datuk Onn Jafaar. Dalam pilihanraya 1952, IMP telah mengambil bahagian tetapi berjaya memenagi satu kerusi dari 12 kerusi dipertandingkan. Pilihanraya umum telah dimenangi oleh Parti Perikatan diwakili UMNO dan MCA. Oleh itu ia membuktikan bahawa IMP tidak mendapat sokongan ramai.

Tidak lama selepas itu, Tan Siew Sin telah berkenalan dengan pemimpin UMNO seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail. Dua tahun kemudian, beliau telah bekerjasama dengan Parti Perikatan. Beliau menjadi Bendahari Parti Perikatan dari 1958 hingga 1965.

Dalam tahun 1956, kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan ke atas Tanah Melayu. Pada masa itu, Tan Siew Sin mencadangkan kepada pemimpin UMNO agar memberikan taraf kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu. Cadangan tersebut telah diterima selepas beberapa perbincangan dengan pemimpin UMNO.

Tan Siew Sin adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dalam pentadbiran. Oleh itu, beliau telah dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Industri oleh Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka. Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan selama 15 tahun bermula tahun 1959. Sebagai Menteri Kewangan, beliau telah memimpin Perwakilan Malaysia bagi mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Beliau juga menjadi Pengerusi bagi Suruhanjaya Kajian Semula Pilihan Raya bagi Seychelles dan orang asing pertama dalam sejarah British menjadi pengerusi suruhanjaya perlembagaan.

Tan Siew Sin mengambilalih jawatan sebagai Presiden ketiga MCA pada November 1961 dan menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan sejak tahun 1959. Atas sebab-sebab kesihatan, beliau kemudian bersara dari semua jawatan dalam kerajaan dan parti pada 8 April 1974. Selepas persaraan beliau, beliau dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan.

Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada 17 Mac 1988 di Kuala Lumpur akibat sakit jantung.

Keluarga
Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Catherine Lim Cheng Neo pada 8 Februari 1947. Mereka dikurniakan tiga orang anak perempuan.

Penghargaan
Sebagai menghargai sumbangan beliau pada negara, sebuah jalan di Kuala Lumpur, Jalan Tun Tan Siew Sin (sebelum ini dikenali sebagai Jalan Silang) telah diabadikan sempena nama beliau pada tahun 2003.

No comments: