Saturday, November 29, 2008

Keunikan budaya Baba Nyonya


MASYARAKAT peranakan Baba dan Nyonya merupakan kumpulan komuniti yang tinggal di negeri Melaka.

Mereka merupakan masyarakat unik kerana kumpulan ini adalah sebahagian dari kaum Cina tetapi mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.

Masyarakat ini dikatakan telah wujud sejak lebih 600 tahun lalu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka apabila mereka datang untuk berdagang di bumi ini dan kemudiannya berkahwin dengan masyarakat Melayu.

Zaman terus berlalu, jumlah masyarakat Baba Nyonya kini semakin berkurangan. Lebih ironik apabila generasi muda yang sepatutnya menjadi pewaris kini kebanyakannya semakin meninggalkan adat resam dan budaya tinggalan nenek moyang mereka.

Wartawan Utusan Malaysia, NORIZAN ABDUL MUHID dan jurugambar ABDUL RAZAK LATIF baru-baru ini telah mendekati kumpulan minoriti Baba Nyonya yang ada di Melaka untuk mengetahui sejauh mana adat resam dan budaya masyarakat itu dapat dipertahankan. Ikuti laporan khas tersebut.

MELAKA 26 Mac – Kaum peranakan Baba Nyonya sudah wujud di negeri ini sejak 600 tahun lalu dan negeri Melaka merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang merupakan kolonis terbesar masyarakat unik ini bertapak.

Kini bilangan mereka mencecah lebih 600 orang di Melaka, belum lagi dikira bilangan mereka yang berhijrah ke negeri lain khususnya ke Pulau Pinang dan Singapura.

Kumpulan kaum minoriti ini menggelarkan diri mereka sebagai Baba Nyonya atau peranakan kerana memiliki dua budaya warisan tradisi Cina yang pada masa sama mengamalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu.

Ia berpunca pada zaman sebelum Kesultanan Melayu Melaka menerusi perkahwinan campur yang berlaku di antara pedagang Cina yang datang berniaga ke Tanah Melayu pada waktu itu yang kemudiannya jatuh cinta dan akhirnya mengahwini wanita Melayu.

Sebab itu, kaum peranakan Baba Nyonya ini mempunyai persamaan dengan kaum Melayu terutama dari segi bahasa, makanan dan budaya.

Bagaimanapun, dari segi anutan, kebanyakanya mereka masih mengekalkan agama Buddha namun ramai di antara mereka yang memilih agama lain seperti Islam dan Kristian.

Cara masakan Baba Nyonya juga dipengaruhi resipi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.

Generasi Nyonya (perempuan) yang terdahulu sehingga kini masih memakai pakaian kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu yang dikenali sebagai kebaya nyonya.

Namun, kehidupan dan pemikiran kaum Baba Nyonya ini masih mengekalkan unsur-unsur masyarakat Cina biarpun mereka telah lama terpisah dari komuniti nenek moyang mereka di China.

Keadaan ini jelas digambarkan menerusi sistem kekeluargaan dan agama yang masihmereka amalkan, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu (zaman sebelum penghijrahan ke Tanah Melayu).

Bagaimanapun, zaman semakin berubah, amalan dan budaya sosial yang diamalkan masyarakat Baba Nyonya semakin disisihkan oleh generasi baru kaum itu.

Kebimbangan itu dilahirkan Presiden Persatuan Peranan Melaka, Phua Jin Hock, yang mengakui generasi barunya seperti malu dengan identiti Baba Nyonya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka yang terdahulu.

Jin Hock, 61, berkata, golongan itu semakin tenggelam dibuai arus kemodenan muzik pop, peralatan canggih muzik, I-pod dan Internet yang diserapkan dengan budaya Barat.

‘‘Malah, boleh dikatakan, 90 peratus daripada 450 orang kaum Peranakan yang menyertai Persatuan Peranakan Baba Nyonya yang ada pada hari ini terdiri daripada orang-orang lama.

‘‘Hanya segelintir daripada generasi baba lama yang menyertai persatuan ini turut disertai oleh anak-anak mereka yang kebanyakannya berusia dalam lingkungan 30-an,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Kenny Chan, 58, sukar untuk melihat anak-anak perempuan dan wanita dewasa di kalangan kaum itu mengenakan pakaian baju kebaya yang mengikut tradisi asal nenek moyang mereka kerana kebanyakan mereka lebih gemar memakai pakaian moden.

‘‘Dulu ketika muda, saya sering dikutuk oleh kaum Cina kerana tidak pandai berbahasa Cina pada hal saya berketurunan Cina, dan sepanjang usia remaja, bila orang tanya identiti saya, saya hanya mendiamkan diri kerana malu.

‘‘Rasanya saya faham mengapa generasi baru hari ini berperangai sedemikian, tetapi sebenarnya, kaum peranakan Baba Nyonya sangat unik, dan apa yang kami ada, tidak ada pada kaum-kaum lain di mana-mana negara pun,” katanya.

David Tan, 67, pesara kerajaan, berkata, mana-mana kaum lain tetap mengalami krisis yang sama seperti yang dialami peranakan Baba Nyonya sekarang.

‘‘Sebab itu kita melalui kegiatan berpersatuan sedang giat menjalankan program mendekati golongan muda untuk terus kekal mengamalkan adat budaya Baba Nyonya sehingga mereka dapat mewariskan kepada anak-anak mereka kelak,” katanya.

No comments: